Wednesday, November 5, 2008

Jangan bakar jambatan persahabatan dalam jamaah

Kepentingan "ukhuwwah" dalam jamaah sudah disepakati umum, khususnya para penggerak gerakan Islam. Teorinya memang sudah dipersetujui sebulak suara. Kalau ada yang menyangkalnya, maka ia terkeluar dari pandangan umum, bahkan terkeluar daripada ketetapan syara'.
 
Tapi jika ditinjau pada perlaksanaan dan amalannya, kelihatan usaha-usaha kearah mempereratkan ukhuwwah kurang diberi perhatian. Bahkan kadang-kadang ukhuwwah semacam tidak dihiraukan sangat, kerana ada agenda-agenda lain yang lebih utama. Bukankah ukhuwwah itu "rahmat Allah"? Mengapa rahmat yang begitu berharga diabaikan begitu sahaja kerana diselimuti ke egoan yang mengunung. Ingatlah..persaudaraan atau ukhuwwah itu adalah akar yang menyokong kekuatan jamaah disamping akidah yang menjadi tunjangnya. Kekuatan apa lagi yang kita yakini untuk mengukuhkan pohon perjuangan ini selain akidah,iman, ukhuwwah dan jihad. Mahu dibina perjuangan ini bertunjangkan "wang" semata-mata".
 
Bukankah disebabkan wang, Umno kehilangan nilai-nilai keluhuran perjuangannya disegenap peringkat. Kuasa semata-mata?. Bukankah kerana budaya bertuhankan kuasa yang telah menyebabkan umno kian kehilangan kuasa. Gerakan Islam memang sangat-sangat memerlukan kuasa dan wang. Tetapi wang dan kuasa itu hendaklah dibangunkan diatas kemurnian akidah, kejernihan iman, keeratan ukhuwwah dan kesungguhan jihad. Justeru itu jangan memandang ringan terhadap kepentingan "menghubungkan" persahabatan dan ukhuwwah.
 
Apa yang menjadi api yang membakar jambatan persahabatan dalam jamaah?
1. Ego. Api yang pertama membakar "jambatan persahabatan" ialah keegoan diri. Merasakan diri lebih hebat. Tidak sesuai lagi bersahabat dengan sahabat-sahabat yang sedia ada. merasakan diri telah setaraf dengan pimpinan yang tinggi-tinggi dalam jamaah. Bahkan bila bercakap dengan pimpinan pun sudah berbahasa "ana anta (aku engkau)" sahaja. sedangkan pimpinan tersebut ,satu masa dahulu adalah guru kepadanya. Besar sangatkah erti jawatan itu dalam hatinya? sehingga dilihat jawatan itu satu keistimewaan yang dibanggakan bukannya tanggungjawab yang bakal dipersoalkan. Besar sangatkah erti jawatan sehingga dirombak jambatan rahmat persahabatan?. Bukankah dahulunya ia tidur bangun bersama dengan mereka. Ia mengorak langkah dalam perjuangan ini bersama dengan mereka, sama-sama berusrah, sama-sama makan nasi dalam talam dan sama-sama tidur kat surau kerana ada qiamullail. Tiba-tiba kerana dah merasakan diri jadi orang penting dalam jamaah, sahabat-sahabat lama dilayan selaku manusia kelas dua.

2. Terpengaruh dengan Fitnah. Api kedua yang membakar jambatan persahabatan ialah fitnah. Seorang sahabat akan rela memutuskan persahabatannya kerana terpengaruh dengan fitnah yang mengaibkan sahabatnya. Kalau ia tahu menghargai "persahabatan" sudah tentu ia akan menjaga nama baik sahabatnya. Mencari kebenaran dan seterusnya dinasihati secara baik sahabatnya itu jika didapati tuduhan itu benar. Dipertahankan sahabatnya jika di dapati tuduhan itu tuduhan liar yang berniat jahat terhadap sahabatnya. Tapi jika awal-awal lagi persahabatan yang ia jalin itu dalam diam-diam terselit rasa irihati, dengki dan hasad terhadap sahabatnya, maka sudah tentu jika bertiup sedikit fitnah terhadap sahabatnya, maka segera akan disambar peluang itu dan diapi-apikan lagi fitnah sehingga marak. Paling tidak ia akan berdiam dir, dengan membiarkan sahabatnya terkial-kial mempertahankan diri dari jaringan fitnah yang menjerutnya. Usahkan diziarahi sahabatnya itu bahkan melarikan diri pada saat sahabat memerlukan sokongan dan perangsang.

3. Hasad. Api hasad antara api yang cepat membakar jambatan persahabatan. Orang yang hasad melihat kepentingan yang ingin dicapainya lebih utama daripada menjalin persahabatan. Kadang-kadang jika dijalin persahabatan pun kerana bertujuan mencapai sesuatu bagi mengatasi sahabatnya yang lain. Sahabat yang baru akan dipergunakan untuk menyaingi sahabat yang lain. Orang yang hasad hanya boleh bersahabat dengan orang yang lebih rendah daripadanya. Jika dilihat seseorang itu lebih tinggi dan maju daripadanya, lalu akan dibakarnya jambatan persahabatan.

4. Jahil. Jahil tentang erti persahabatan, juga antara penyebab jambatan persahabatan diruntuhkan. sedangkan persahabatan adalah rahmat ALlah, melapangkan kerja dakwah, menenangkan jiwa, pemberi semangat dikala lemah, pendorong dikala berduka dan sahabat adalah sebahagian dari hidup kita. Tanpa mereka siapalah kita. Tanpa mereka kita tidak akan sampai ketahap ini pada hari ini.

Apa yang mengeratkan persahabatan?
1. Tawadhuk. Rendah diri atau tawadhuk bukan sahaja dicintai Allah. Bahkan orang yang bersifat tawadhuk akan dikasihi dan dicintai oleh sahabat-sahabatnya. Ia tidak merasakan dirinya hebat walaupun telah menjawat jawatan yang tinggi dalam jamaah. Bahkan ia merasakan jawatan itu dikongsi bersama kerana ia pastinya tidak akan sampai ketahap itu tanpa bantuan, sokongan dan pertolongan sahabat-sahabatnya. Jiwanya semakin resah dengan jawatan kerana akan banyak soalan Allah terhadapnya di akhirat. Namun oleh kerana telah diamanahkan dengan jawatan, terpaksa ia memikulnya dengan penuh pengharapan kepada pertolongan Allah dan bantuan rakan-rakan. Manusia secara nalurinya akan mengasihi orang yang merendah diri. Sebagaimana mereka secara nalurinya akan benci kepada orang yang sombong. Hatta orang yang sombong pun akan benci kepada orang yang sombong.

2. Ziarah. Tujuan ziarah ialah untuk menghangatkan persahabatan. Orang yang menghargai pertalian persahabatan akan meletakkan keutamaan kepada agenda ziarah. Jika ada peluang dan kelapangan pasti tidak akan disia-siakan untuk menziarahi sahabatnya. Apatah lagi jika ia tahu saat itu sahabatnya dalam kesusahan atau sangat mengharapkan pertolongan dan bantuannya. Persahabatan yang disusuli dengan ziarah akan lebih erat berbanding persahabatan yang berkisar sekadar pertemuan di masjlis-majlis ceramah dan kedai-kedai kopi. Taaruf akan lebih mesra dan manis jika diperkukuhkan dengan ziarah. Ziarah bukan sahaja mengeratkan antara dua orang sahabat, bahkan melibat keluarga masing-masing.

3. Selalu mendoakan sahabat. Jangan lupa, bahawa jalinan persahabatan adalah rahmat Allah. Bermohonlah kepadaNya untuk sentiasa memperolehi rahmat dan nikmat itu. Doakan kebaikan dunia dan akhirat untuk sahabat. Kerana kita tidak akan rasa nikmat bersahabat jika kita dalam keadaan gembira tetapi sahabat kita dalam kedukaan. Tetapi jika sahabat kita dalam kegembiraan, kita juga akan menompang gembira dan senang walaupun saat itu kita dalam kepayahan.

Apabila persahabatan dan ukhuwwah dapat dipereratkan dan jalinannya dapat dianyam dengan kemas dan indah, maka pastinya jamaah akan kelihatan indah dan sempurna. Sebaliknya jamaah akan kelihatan berserabut dan saling berantakan. Waktu itu tiadalah rahmat dan nikmat Allah swt.

No comments: